Wednesday, December 14, 2011

Senyum itu, masihku teringat




Gambar diatas mse buat SBE dekat SK Khir Johari



Gambar diatas diambil oleh rakan saya semasa kami menjalani SBE ( School Based Experience) di SK Khir Johari. Kebetulan disekolah itu ada kelas untuk kanak-kanak pendidikan khas.

Teringat lagi sewaktu awal pagi disekolah itu, saya berehat di bangku sementara menunggu loceng berbunyi. Di situ, saya disapa oleh senyuman seorang kanak-kanak yang bernama Mustakim. Saya membalas senyuman dia dan mulai menyapanya. Tapi....air mata bagaikan hendak mengalir disaat beliau membalas sapaan saya dengan bahasa isyarat. Maaf Mustakim, cikgu x faham apa yang kamu cuba sampaikan.

Hari seterusnya, saya duduk dibangku itu lagi. Mustakim seperti biasa memberikan senyuman sewaktu kami sama-sama menunggu loceng berbunyi. Kali ini , dia ditemani oleh rakan sekelasnya. Ada seorang kanak-kanak yang hyperaktif dan ada juga yang mengalami autisme. Disaat saya menyapa kanak-kanak autisme itu, matanya cuba beralih dari memandang saya. Sedang saya terleka, tiba-tiba saya dipeluk dari belakang.

"Cikgu, tengok dia nie nak pukul saya"...Hah, seorang lagi rakan kelas Mustakim datang. Tidak tahu bagaimana hendak marah rakannya itu, saya hanya menyuruh mereka duduk dibangku dihadapan saya sambil saya mengawasi gelagat mereka.

Pagi seterusnya, saya datang agak lambat. Tiada lagi terlihat senyuman Mustakim ketika menunggu loceng berbunyi. Namun, hari itu saya dan rakan-rakan berkesempatan untuk sama-sama menyertai kelas pendidikan jasmani bagi kelas Mustakim. Ya, dapat lagi saya lihat senyuman itu. Disana, saya berpeluang bermain badminton bersama mereka. Alangkah gembiranya mereka apabila cikgu2 baru masuk kekelas mereka. Mereka sudah mula melupai kewujudan guru kelas mereka dan memberi perhatian kepada kami.

Walaupun mereka mempunyai kekurangan, disekolah ini mereka berpeluang untuk belajar sama seperti kanak-kanak yang lain. Ya, saya agak terkejut melihat seorang daripada mereka amat mahir bermain badminton dan mampu mengalahkan rakan saya.

Disuatu sudut, saya terlihat seorang kanak-kanak masih terkial-kial dengan badmintonnya.

"Jom main dengan cikgu" saya mengajaknya bermain.
"Tapi saya x pandai" dia membalas.
"Jangan cakap macam tue. Kamu boleh. Mai cikgu ajar"

Kanak-kanak itu bukannya tidak boleh bermain badminton. Dia cuma tidak yakin dengan kebolehan yang ada padanya.

"Cikgu, saya x boleh". Berulang kali ayat itu disebut.
"Cikgu x mahu dengar. Cikgu tahu kamu boleh" Saya membalas.

Dengan sedikit bimbingan dari saya dan dibantu oleh rakan-rakan, Alhamdulillah, kanak-kanak itu dah boleh 'serve' . Mana Mustakim? Nampaknya, dia pun sedang bergembira bermain badminton.

Hari seterusnya, saya langsung tidak berjumpa dengan Mustakim. Dia datang agak lewat dan saya pula tidak berada dibangku seperti selalu.

Namun, pada keesokan harinya Mustakim datang dengan segak berbaju melayu bewarna ungu . Pada hari itu, sekolah itu mengadakan sambutan hari raya. Saya agak terpesona melihat pakaian berwarna-warni dipadankan pada tubuh mereka yang genit ditambah dengan kecomelan mereka.Kemudian, datang seorang kanak-kanak perempuan rakan kelas Mustakim memeluk saya.

"Cikgu, lawa baju cikgu. Comel cikgu. Sayang cikgu ".Kanak-kanak itu berkata sambil menghadiahkan saya senyuman.

Terharu dengan pujiannya, saya membalas

"Kamu pun comel juga. Cikgu sayang kamu".

Dan hari itulah hari terakhir saya melihat senyuman mereka kerana hari itu merupakan hari terakhir saya berada disekolah Khir Johari.

Ya Allah, peluang bersama mereka yang kau beri membuatku berasa sangat bersyukur kerana dilahirkan cukup sempurna sebagai seorang manusia. Tidak akan kucela ketidaksempurnaan yang mereka dapat, namun kujadikan sebagai satu peringatan atas nikmat yang telah kau beri .

Ya Allah, semoga masa depan kanak-kanak kelas Kelisa di SK Khir Johari cerah dan mereka disayangi oleh hambamu yang lain.

Semoga mereka sentiasa mendapat peluang seperti manusia lain.
Semoga tiada yang mengejek atau mencela kekurangan mereka
dan Ya Allah, jadikan mereka hambamu yang beriman.

Ya Allah, aku rindukan senyuman itu....


No comments:

Post a Comment

Facebook Badge