Saturday, August 4, 2012

Kisah pengembara 1

Kisah benar ini diceritakan oleh rakan saya.



Gambar diatas adalah sekadar ilustrasi

3 jam berjalan di sekitar Jalan TAR memang amat memenatkan.Ditambah pula dengan orang yang bersesak-sesak, panas terik dan keadaan diri yang lelah dek kerana berpuasa. Tepat jam 6.00 petang, Zaza mengorak langkah untuk pulang bersama dua orang rakannya Jessica dan Suzana. Suzana yang telah kehabisan baki di kad touch-n-go beratur untuk menambah nilai dalam kad tersebut manakala Jessica pula beratur untuk membeli token lrt. Pada saat inilah peristiwa itu bermula. Dek kerana badannya yang keletihan, Zaza bertenggek di kaunter yang tidak berpenghuni. Disebelahnya, kedengaran seorang makcik tua yang bertanyakan arah laluan lrt kepada petugas kaunter

Makcik Tua: Dik, macam mana hendak pergi ke Salak Selatan
Petugas: Makcik boleh ambil lrt ke laluan Sri Petaling. Bila makcik dengar pengunguman lrt ke Salak Selatan, makcik boleh keluar dari lrt selepas itu.
Makcik Tua: Makcik bukannya apa, makcik kena turun situ sebab nanti anak makcik boleh ambil makcik disana. Diorang semua bekerja, sibuk dengan kerja masing-masing. Bila makcik turun disana, senang sikit diorang ambil makcik.

Makcik itu pun mulai giat berceloteh. Zaza yang berada tak jauh dari kaunter berasa terhibur melihat gelagat petugas lrt yang seperti berharap makcik itu cepat berlalu pergi. Selesai penerangan diberi, makcik tua itu mulai mengorak langkah menuju ke platform yang sepatutnya. Terkial-kial makcik itu menggunakan sistem token yang kelihatan janggal baginya.

Nampaknya Suzana dan Jessica sudah selesai dengan urusan masing-masing. Maka mereka bertiga mengorak langkah ke platform yang sama seperti makcik tersebut. Suzana mengambil tempat disebelah makcik tua tersebut.Makcik tua yang baik hati itu pula beranjak kehadapan sedikit dari tempat duduk bagi membolehkan Zaza duduk dibelakangnya.Dek kerana peristiwa di kaunter tadi, Zaza memulakan bicaranya.

Zaza: Makcik, makcik nak pergi ke Salak Selatan kan...Makcik ikut saya, nanti saya akan beritahu bila makcik boleh keluar dari lrt nanti
Makcik: Anak pergi sana juga? Alhamdulillah, ada orang tunjukkan jalan.
Zaza: Tak, saya tak turun ke Salak Selatan tapi laluan saya akan bertembung tempat itu juga.

Selesai mendengar penerangan Zaza, makcik tua itu membuka begnya dan mengeluarkan sehelai kertas dan menunjukkannya ke Zaza.

Makcik: Makcik nak pergi ke tempat ini. Anak makcik suruh ambil lrt. Lepas itu, naik bas ke tempat ini.

APARTMEN *******...Zaza memang kenal sangat dengan tempat itu. Melihat jam yang sudah menghampiri 6.30, dia mulai berfikir. Kalau makcik nie sampai ke Salak Selatan dan menunggu bas ke destinasinya, pukul berapa dia hendak berbuka puasa? Lantas Zaza mengambil satu kata putus.

Zaza: makcik ikut saya yer.Nanti tempat tinggal saya bertembung dengan rumah anak makcik juga.

Tettt...Lrt ke Sri Petaling pun sampai. Kelihatan semua tempat duduk sudah penuh. Zaza terus bertanyakan kepada seorang wanita cina.

Zaza: Excuse me. can you give your seat to this women?
Wanita Cina : I'm sorry. I'm pregnant

zzzzzzzzzzzzz.. Macam kena kilat. Muka Zaza dah merah padam. yerla, perut wanita cina tue kecik sangat. Lepas tue terlindung pula dengan beg.Tak berapa lama kemudian, ada seorang wanita melayu bangun dan memberikan tempat duduknya kepada makcik tua tersebut. Alhamdulillah, tapi tak lama kemudian selepas duduk, makcik ini pula mulai mengarahkan orang disebelahnya bangun.

Makcik: Tolong beri adik ini tempat duduk. Dia yang akan menjaga makcik sampai makcik balik nanti.

Huih, bertambah merah muka Zaza. Nasib baik lelaki disebelah makcik nie sporting dan memberikan tempatnya kepada Zaza.

Semasa berada disebelahnya, makcik tersebut mulai bercerita mengenai kisahnya dan juga anak-anaknya. Kisah menantunya yang kasar dengannya,kisah anaknya yang membiarkannya dan kisah perjalanan hidupnya. Merah mata makcik tersebut menahan tangisan. Zaza disebelah mulai sebak kerana dia memang tak boleh lihat orang menangis. Dalam cerita makcik tersebut yang antara dengar dan tak dengar kerana kebisingan dalam lrt, Zaza membuat kesimpulan bahawa makcik ini datang dari keluarga dimana anak-anaknya tak perdulikannya. Sampai disatu ayat, mata Zaza mulai berair

Makcik: Makcik kadang-kadang rasa hendak pergi kemana-mana berseorangan. Tak mahu mengharapkan anak-anak. Makcik sampai berharap suatu masa nanti makcik hilang dan mereka temui makcik di balai polis. Baru mereka menyesal dengan perbuatan mereka

Ya Allah, samapi begitu tergurisnya hati makcik ini.

Oleh kerana tidak biasa turun di Salak Selatan, Zaza mengajak makcik tersebut turun di Bandar Tu Razak. Alhamdulillah, makcik tersebut menurut sahaja. Apabila tiba di destinasi, Zaza dan makcik terus pergi ke teksi memandangkan Jessica dan Suzana ada urusan di Bandar Tun Razak. Dalam perjalanan, Zaza menelefon anak makcik tersebut. Lebih kurang beginilah perbualan mereka.

Zaza: Puan *******, emak puan ada dengan saya. Nanti puan tunggu dekat bawah apartment ya.

Puan ******* , suaranya seperti orang yang sedang malu atas tindakannya.

Dalam perjalanan, makcik tersebut bertanyakan berapa tambang teksi ke rumah anaknya. Zaza menjawab bahawa makcik tersebut tidak perlu membayar apa-apa.

"Saya belanja makcik hari ini". Berulang kali ayat itu dituturkan kepada makcik tersebut namun makcik tua itu masih mahu membayar tambang teksi itu.

Zaza: Makcik, ini bukan duit saya pon. Nie duit kerajaan.

Terpinga- pinga makcik tersebut apabila Zaza memanggil duit elaun sebagai duit kerajaan.

Makcik: Kamu masih belajar lagi, ambil lah

Nak ambil, x nak? Zaza dalam dilema. Kasihan apabila dia terlihat makcik tersebut mengeluarkan wang dari dompet yang penuh dengan syiling.

Apabila tiba di destinasi makcik tersebut, anaknya masih tidak kelihatan di pondok pengawal. Kasihan makcik itu.Zaza pun meneruskan perjalanan ke destinasinya.


Kesimpulan: Kisah yang diceritakan kawan saya ini sedikit sebanyak memberi impak yang besar kepada saya. Tergamaknya anak membiarkan mak mereka yang sudah tua berjalan seorang di bandaraya Kuala Lumpur yang besar ini. Berbekalkan kertas alamat yang ditulis anaknya dan duit tambang berupa syiling,makcik ini kuatkan hatinya pergi menyelesaikan urusannya tanpa mahu menyusahkan anaknya. Hal ini kerana dia banyak terasa dengan tindak-tanduk anaknya sebelum ini. Saya terus menghubungi adik saya dan menceritakan kisah ini. Kami berdua, membuat janji agar nanti tidak akan kami biarkan mak kami seperti makcik ini. Insyaallah.

Facebook Badge