Tuesday, August 31, 2010

Gembira dan berduka....oh si tua

Senyum seindah suria yang membawa cahaya, namun senyum ini penuh kedukaan


Lihat wajah atuk diatas nie...cik bunga gembira dan pada masa yang sama bersedih juga. Gambar diatas cik bunga ambil dari keratan akhbar dari Utusan Online.

"PENGHUNI Rumah Kenangan, Ali Husaini,71, gembira menunjukkan duit raya yang diterimanya pada majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri di Kuching, Sarawak, 30 Ogos. Seramai 60 warga emas, anak yatim dan orang kurang berkemampuan menerima sumbangan tersebut". - Utusan

Nampak tak kenapa cik bunga berasa gembira dan pada masa yang sama sedih juga? Tak nampak lagi? Hurm, begini sebenarnya. Cik bunga gembira sebab cik bunga dapat melihat senyuman terukir dibir atuk ini. Senyuman kegembiraan tatkala anak sendiri membuang dirinya tetapi masih ada lagi insan yang prihatin terhadapnya. Sedih pula apabila mengenangkan nasib atuk ini beraya tanpa keluarga disisi. Ya Allah, sebesar mana dosa kedua ibu bapa kita, mereka masih perlu kita hormati dan juga sayangi.

Mari cik bunga kongsikan artikel yang cik bunga tulis di laman web biliksebelah.wordpress.com yang bertajuk " Oh si tua, dimana anakmu"



Oh Anak…Kalaulah Kau tahu…bahawa kau kan tua jua akhirnya jika kau panjang umur.

Sejak akhir-akhir ini, bukan setakat anak kecil dibuang di merata-rata tempat. Malahan anak pun tergamak membuang ayah dan ibu mereka di tepi-tepi jalan. Yang memualkan pelakunya adalah mereka yang beragama Islam.

Kurang ajar! Biadap! Tak kenang budi! Hanya perkataan seperti itu yang layak digelar kepada si anak. Anak yang dibesarkan dengan susah payah selama ini memberi balasan seumpama ini kepada ayahnya. Mana pergi tanggungjawab dan amanah yang terpikul?Tergamak anaknya berbuat begitu.

Ayah yang terlantar uzur tidak bermaya , yang mengharapkan perhatian anaknya tatkala diri ini sudah menuju ke penghabisan usia. Oh anak, tergamaknya dikau membiarkan dia sendirian

Ini belum dicampur lagi dengan kebanjiran si tua ditepi-tepi jalan untuk meminta sedekah. Tatkala saya lalu-lalang disebelah mereka, saya terfikir dimanakah anak mereka? Anak jenis apakah ini yang sanggup membiarkan ibu-bapa sendiri meminta sedekah ditepi jalan? Mana dia perut-perut yang disajikan makanan dari titik peluh seorang ayah dan ibu? Tergamak mereka.

Disini juga saya ingin selitkan kisah seorang anak yang mulia. Marilah sama-sama mengambil iktibar dari kisah ini

Suatu hari, Nabi Musa bertanya kepada Allah. “Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?”Allah pun menjawab dengan menyebut nama orang itu, kampung dan tempat tinggalnya. Selepas mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan menuju ke tempat yang diberitahu. Beberapa hari kemudian, akhirnya Baginda sampai ke tempat berkenaan. Dengan pertolongan beberapa penduduk di situ, Baginda berjaya bertemu dengan orang berkenaan. Selepas memberi salam, Nabi Musa dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia terus masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian, dia keluar sambil membawa seekor khinzir betina yang besar. Khinzir itu didukung dengan cermat, dibersihkan, dimandikan dan dikeringkan serta dipeluk cium sebelum dihantar semula ke dalam bilik. Nabi Musa terkejut melihatnya. “Apa hal ini?” katanya di dalam hati dengan hairan. Tidak lama kemudian, dia keluar sekali lagi sambil membawa pula seekor khinzir jantan yang lebih besar dan diperlakukan sebagaimana tadi. Selepas kerjanya, barulah dia melayan Nabi Musa. “Wahai saudara, apa agama kamu?” “Aku agama Tauhid,” jawab pemuda itu iaitu agama Islam. “Habis mengapa kamu memelihara khinzir? Kita tidak boleh berbuat begitu,” kata Nabi Musa. Pemuda itu berkata, “Wahai tuan hamba, sebenarnya kedua-dua khinzir itu adalah ibu bapa kandungku. Mereka melakukan dosa yang besar dan Allah menukar rupa mereka menjadi khinzir yang hodoh. “Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipan aku sebagai anak. “Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibu bapaku seperti mana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah berubah, aku tetap melaksanakan tugas aku. “Setiap hari aku berdoa kepada Allah supaya mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar tetapi Allah masih belum memakbulkannya lagi,” kata pemuda itu. Maka ketika itu juga, Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa. “Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibu bapanya. “Ibu dan ayahnya sudah buruk dengan rupa khinzir tetapi dia masih berbakti juga. Oleh itu, Kami naikkan makam dia sebagai anak salih di sisi Kami,”. Allah juga berfirman yang bermaksud: “Oleh kerana dia berada di makam anak yang salih di sisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibu bapanya yang kami sediakan di neraka Kami pindahkan ke dalam syurga.””

Renungilah kisah diatas. Seperti mana yang kita sedia tahu, khinzir merupakan haiwan yang haram. Jika kita renungi kisah diatas, walaupun ibu dan ayah pemuda tersebut telah bertukar menjadi khinzir, tetapi kasih sayang pemuda tersebut terhadap ibu dan ayahnya tidak dipisahkan melalui sifat fizikal ayah dan ibunya. Pemuda itu sedar bahawa walaupun ibu dan ayahnya seekor khinzir, tanggungjawab untuk membahagiakan mereka masih tidak terlepas dari bahunya. Contohilah pemuda diatas.

Wahai pembaca sekalian. Jika anda salah seorang anak yang membuang ibu dan ayah anda, bertaubatlah. Sesungguhnya pintu taubat masih terbuka bagi anda. Jagalah ibu dan ayah anda sebaiknya. Walaupun ibu dan ayah anda pernah melakukan kesilapan, maafkanlah dan terimalah mereka . Mahukah anda jika anak-anak anda melakukan perkara sedemikian kepada anda? Insaflah dan sayangilah ibu bapa anda selama mereka masih ada. Jika sudah terlambat,titipkanlah doa untuk mereka kerana sesungguhnya doa seorang anak yang soleh merupakan salah satu bekalan bagi mereka ketika berada dialam sana. Akhir kata dari saya, sayangilah ibu dan ayah selagi mereka masih ada dan titipkanlah doa hingga keakhir hayat anda untuk mereka.

Allah telah berfirman: “Dan Kami perintahkan (campakkan ke dalam hati) manusia (agar berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya;ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang ibu bapamu, hanya kepada Akulah kembalimu”.

zahra si bunga













Facebook Badge